Tuesday, August 4, 2009

Amalan - Bil.10

Bismillahirrahmanirrahim..
Alhamdulillah..Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad saw dan keluarga serta para sahabat sekaliannya. Semoga dilimpahkan Allah akan rahmat-Nya kepada kita semua muslimin & muslimat FKUM... Amin. amma ba'du;

NISFU SYA'BAN
Bulan Rejab dimuliakan dengan peristiwa Isra' dan Mi'raj. Bulan Sya'ban pula dihidupkan dengan amalan di malam Nisfu Sya'ban dan bulan Ramadhan pula dianugerahkan dengan Lailatul Qadar. Sama-samalah kita nantikan kedatangan bulan-bulan yang hebat ini.

Apa itu Nisfu Sya'ban ?
Nisfu bermaksud setengah @ separuh. Nisfu Sya'ban adalah separuh daripada bulan Sya'ban iaitu 15hb Sya'ban 1430H. Oleh itu, ia akan jatuh pada hari Rabu malam Khamis, 5 Ogos 2009.

Apa kelebihan di malam Nisfu Sya'ban ?
Berkata Abu al Abbas ibn 'Ato' : Malam Nisfu Sya'ban dinamakan malam yang berkat kerana pada malam tersebut para malaikat turun dan menghampiri bumi.

Diriwayatkan oleh 'Aisyah berkata : Saya mendengar Rasulullah saw bersabda: "Allah melimpahkan kebaikan pada empat malam dan dari keempat-empat malam tersebut, Baginda menyebut malam Nisfu Sya'ban."

Dikeluarkan oleh al Dar Qutni dan Imam Ahmad dengan sanadnya daripada 'Aisyah berkata: "Pada suatu malam, aku kehilangan Rasulullah saw maka aku pun keluar mencarinya dan aku menemui Baginda di Baqi' sedang mendonggak kepalanya ke langit. Maka Baginda saw bersabda "Adakah kamu takut Allah dan Rasulnya menzalimimu?" 'Aisyah berkata: "Bukan begitu, wahai Rasulullah! Aku cuma menyangka kamu mendatangi isteri-isterimu yang lain." Baginda saw bersabda : "Sesungguhnya Allah turun ke langit dunia pada malam Nisfu Sya'ban, maka Dia mengampunkan dosa-dosa hamba-hambaNya lebih banyak daripada bilangan bulu kambing Bani Kilab."

Apa yang patut kita buat di malam Nisfu Sya'ban ?
1.Memohon ampun kepada Allah swt di atas kemaksiatan yang telah dilakukan.
2.Memohon diberikan rezeki,kesihatan dan umur supaya dapat beribadat kepada Allah swt.
3.Memohon dibebaskan daripada azab api neraka.
4.Mendirikan solat sunat tasbih.
5.Membaca Al-Quran dan berdoa.
6.Ibadat-ibadat sunat yang lain.

Berkata al-Muhaddith Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim : Maka cukuplah kita bersandarkan kepada Imam Ahmad ibn Hanbal dan tabi'en yang merupakan ahli feqah yang 'alim dan wara' sebagai mengharuskan amalan menghidupkan malam Nisfu Sya'ban secara berjamaah.

Sumber : Kitab Kelebihan Malam Nisfu Sya'ban karangan Syeikh Salim Al-Sanhuri Al-Maliki.

Selamat beramal.
bersambung...
=ksrmimbar=

No comments:

Post a Comment